Dasar Alam Sekitar

Superior Essex ialah peneraju global bagi reka bentuk, pembuatan dan pembekalan produk wayar dan kabel.  Kami merupakan pengeluar wayar magnet yang terbesar di dunia, juga dikenali sebagai dawai belitan, pengalir kuprum atau aluminium tertebat yang digunakan oleh pengeluar dan pengedar peralatan asli yang utama.  Di Amerika Utara, kamilah pemimpin industri bagi produk wayar dan kabel komunikasi kuprum loji luar.  Kami juga mengeluarkan dan membekalkan kabel gentian optik dan kabel kuprum premis.

Superior Essex mengendalikan melebihi 25 kemudahan perkilangan di Amerika Syarikat, Kanada, Mexico, Perancis, Jerman, Itali, United Kingdom, Portugal dan China. Kami mempunyai lebih daripada 3,800 orang kakitangan yang bekerja di seluruh dunia untuk membekalkan produk berkualiti yang penting untuk operasi pelbagai barangan isi rumah harian dan operasi perniagaan sehari-hari yang kritikal.

Superior Essex komited terhadap perlindungan alam sekitar, di samping kesihatan dan keselamatan para pekerja, pelanggan dan jirannya.  Komitmen ini diamalkan di seluruh dunia.  Dasar Alam Sekitar ini merangkumi komitmen terhadap alam sekitar, kesihatan dan keselamatan ini serta menyediakan panduan untuk melaksanakan komitmennya. 

SKOP: 

Sebagaimana yang digunakan di sini, “Superior Essex” atau “Syarikat” merujuk kepada Superior Essex Inc. dan semua syarikat operasinya di seluruh dunia. Semua pekerja di setiap lokasi dan setiap jabatan Syarikat seharusnya dimaklumkan dengan baik tentang keprihatinan alam sekitar operasi mereka, dan hendaklah memikul tanggungjawab untuk mematuhi dasar ini kerana perkara ini boleh memberikan kesan kepada lokasi, operasi dan fungsi mereka.

DASAR ALAM SEKITAR: 

Sememangnya menjadi dasar yang termaktub dalam Superior Essex untuk menjalankan urusannya berlandaskan tanggungjawab terhadap alam sekitar.  Semenjak sekian lama dan akan terus menjadi dasar Superior Essex untuk mematuhi semua undang-undang dan peraturan alam sekitar persekutuan, negeri dan tempatan serta memelihara dan melindungi alam semula jadi termasuklah udara, air, tanah dan sumber semula jadi yang lain.

OBJEKTIF: 

Demi meneruskan dasar ini, Syarikat akan:

  • Menjalankan operasinya dengan mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan persekutuan, negeri dan tempatan yang terpakai, dan dengan cara yang bertujuan untuk meminimumkan ancaman bahaya atau kecederaan kepada kesihatan manusia atau alam sekitar.
  • Mengekalkan kesedaran semasa tentang undang-undang, peraturan, dasar dan teknologi kawalan alam sekitar.
  • Bekerjasama dengan pihak berkuasa kerajaan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka untuk mengawal pencemaran, dan menyokong pembangunan piawaian, undang-undang dan peraturan alam sekitar yang mantap, saksama dan realistik.
  • Berusaha untuk mencegah pencemaran pada sumber melalui program penambahbaikan yang berterusan.
  • Merangkumkan pertimbangan dan kajian semula tentang kemungkinan kesan alam sekitar bagi operasinya dan perubahan operasinya.
  • Menyebarkan Dasar Alam Sekitar ini kepada semua unit perniagaan dan mengekalkan sistem untuk mewujudkan tanggungjawab pengurusan dan kawalan yang diperlukan bagi pelaksanaannya.
  • Meneruskan amalan dan prosedur yang diperlukan untuk melaksanakan Dasar Alam Sekitar ini secara tersurat dan tersirat.
  • Mengkaji keberkesanan aktiviti perlindungan alam sekitar secara tahunan di kemudahan dan operasi Syarikat.
  • Melaporkan kepada pengurusan kanan tentang status program perlindungan dan penambahbaikan alam sekitarnya, dan apa-apa pencerobohan material terhadap alam sekitar yang berlaku atau terancam disebabkan oleh operasi Syarikat mengikut dasar dan prosedur Syarikat.
  • Berusaha untuk mengitar semula dan menggunakan semula bahan-bahan jika boleh, dan untuk memelihara tenaga dan sumber-sumber lain.

KOD AMALAN: 

Demi mendukung komitmen kami terhadap alam sekitar, kod amalan yang berikut akan diikuti:

  • Program dan Prosedur– Setiap unit perniagaan dan setiap kemudahan hendaklah mewujudkan dan melaksanakan matlamat, program, dan prosedur untuk:
    1. menjalankan operasi dengan selamat dan secara bertanggungjawab terhadap alam sekitar;
    2. memastikan kesesuaian dengan semua undang-undang EHS yang berkaitan dan terpakai, dasar Syarikat, dan keperluan; dan
    3. mengaitkan prestasi fungsi dan kemudahan dengan matlamat dan objektif EHS korporat dan bahagian.

Pegawai pematuhan alam sekitar hendaklah dikenal pasti untuk setiap unit perniagaan dan kemudahan, dan memikul tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan program dan prosedur ini dengan berkesan.

  • Pengurusan Bersepadu– Setiap unit perniagaan dan kemudahan akan menyepadukan program dan prosedur EHS ke dalam aktiviti perniagaannya, sebagaimana yang sewajarnya.
  • Penambahbaikan Berterusan– Setiap unit perniagaan dan kemudahan hendaklah memastikan bahawa operasi Syarikat dinilai secara berkala, dan terus ditambah baik, bagi meningkatkan kesihatan pekerja, keselamatan, dan perlindungan alam sekitar.  Penilaian hendaklah mengambil kira perkembangan teknikal, amalan terbaik EHS yang diiktiraf, pemahaman saintifik semasa dan juga jangkaan pelanggan, komuniti tempatan dan pihak berkepentingan yang lain.
  • Pendidikan Pekerja– Setiap unit perniagaan dan kemudahan hendaklah mendidik, melatih dan mendorong pekerja untuk menjalankan aktiviti mereka dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Latihan pekerja hendaklah bersesuaian supaya memenuhi tanggungjawab EHS yang berkaitan bagi setiap pekerja, di samping mematuhi keperluan EHS yang berkenaan.
  • Pengambilalihan dan Penyahlaburan– Setiap unit perniagaan dan kemudahan hendaklah mengenal pasti kesan EHS dan menilai risiko dan liabiliti yang mungkin berlaku untuk semua pengambilalihan, penyahlaburan dan usaha sama.
  • Produk dan Perkhidmatan– Setiap unit perniagaan dan kemudahan hendaklah mengenal pasti, menilai dan meminimumkan kesan EHS langsung dan tidak langsung daripada unit dan kemudahan itu bagi setiap barisan produk dan perkhidmatan utama yang disediakan.
  • Perkhidmatan Pelanggan Luaran– Setiap unit perniagaan dan kemudahan hendaklah memastikan bahawa bahaya atau kesan negatif EHS yang diketahui bagi produk-produknya dimaklumkan dengan sewajarnya kepada pelanggan, pengedar dan orang ramai yang mungkin terjejas.
  • Aktiviti dan Operasi Perniagaan– Setiap unit perniagaan dan kemudahan hendaklah mengenal pasti, menilai dan meminimumkan kesan EHS daripada unit dan kemudahan terbabit.
  • Pendekatan Berjaga-jaga– Setiap unit perniagaan dan kemudahan hendaklah berusaha untuk meminimumkan kesan EHS negatif yang berpunca daripada aktivitinya. Pengubahsuaian kepada aktiviti unit dan kemudahan hendaklah mematuhi keperluan EHS.
  • Pencegahan, Kesediaan dan Tindakan Kecemasan– Setiap unit hendaklah merangka, melaksanakan dan mengekalkan pelan pencegahan, kesediaan dan tindakan kecemasan yang sesuai untuk menangani kejadian EHS.
  • Usaha Bersama: Kewarganegaraan yang Baik– Setiap unit perniagaan dan kemudahan digalakkan untuk menyumbang, sebagaimana yang bersesuaian, kepada inisiatif dasar awam, perniagaan, kerajaan dan pendidikan yang akan dapat meningkatkan kesedaran dan perlindungan EHS dalam komuniti.
  • Komunikasi dengan Pihak Berkepentingan– Tertakluk kepada dasar dan prosedur Syarikat untuk komunikasi luaran, setiap unit perniagaan dan kemudahan hendaklah memupuk keterbukaan dan dialog antara Syarikat dengan pihak berkepentingan luaran, menjangkakan dan memberikan respons terhadap kebimbangan mereka tentang kemungkinan bahaya dan kesan EHS akibat daripada produk dan operasi.
  • Pengukuran dan Pelaporan– Setiap unit perniagaan dan kemudahan hendaklah mengukur prestasi EHS mereka melalui audit dan penilaian kendiri serta mendokumenkan keputusan sedemikian.
 
 
 
 
 

Terjemahan

Klik platform di bawah untuk berkongsi artikel ini. Terima kasih kerana sudi berkongsi!